Penyakit kencing manis ataupun (BM = Diabetes melitus;
Inggeris = diabetes mellitus merupakan sejenis penyakit yang dapat dicirikan
dengan keadaan hiperglisemia (tinggi kandungan glukosa dalam darah),
terutamanya selepas pengambilan makanan, pada penghidapnya.
Secara umumnya, penyakit kencing manis dapat digolongkan
sebagai:
Diabetes jenis pertama (I) juga dikenali sebagai diabetes
bersandar insulin (IDDM - 'Insulin Dependent Diabetes Mellitus') atau diabetes
awal remaja. Diabetes jenis I dicirikan dengan kegagalan penghasilan insulin
oleh kelenjar pankreas. Biasanya, penghidap diabetes jenis pertama mula
mendapat simtom penyakit semasa kanak-kanak atau remaja. Disebabkan oleh
kegagalan penghasilan insulin semula jadi oleh badan, pesakit memerlukan
suntikan insulin dari luar untuk pengawalan tahap glukosa darah.
Diabetes jenis kedua (II) boleh disebabkan oleh kerintangan
insulin (penurunan sensitiviti tisu badan terhadap insulin) dan/atau
penghasilan insulin yang berkurangan. Diabetes jenis II, oleh kerana masih
mempunyai sedikit sebanyak insulin dari pankreas, boleh dikawal secara
pemantauan pangambilan makanan, pengurangan berat badan, bersenam, dan
pengambilan ubat secara makan/suapan ( suntikan insulin diperlukan dalam
keadaan tertentu sekiranya pengambilan ubat secara makan kurang berkesan atau
memberi kesan samping serius kepada pesakit).
Sejarah
Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun
purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, India, Cina, dan Yunani
(Greek). Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan
kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada 1550 SM.
Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing manis kepada dua
jenis berlainan semenjak abad ke lima lagi.
Nama lain kencing manis, diabetes yang bererti pancur air,
dinamakan oleh pakar perubatan Yunani (Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak
2,000 tahun dahulu. Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi
menunjukkan terdapat gula dalam air kencing. Diabetes Melitus atau secara amnya
dikenali sebagai kencing manis, merupakan satu penyakit kronik (tidak boleh
pulih sepenuhnya) dan hampir 8-9% masyarakat dewasa di Malaysia mengidap
penyakit ini.
Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap kencing
manis yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat sama
ada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan
punca penyakit kencing manis dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar
sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan
kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing
tersebut mengidap kencing manis.
Walaupun penyakit kencing manis telah lama diketahui,
kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila
Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal
kandungan glukos dalam darah.
Pengawalan diabetes
Diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur
hidup. Setakat ini belum ada ubat yang dapat menyembuh penyakit diabetes tetapi
penyakit ini boleh dikawal dengan cara berikut:
Penjagaan pemakanan dan berat badan
Kerap bersenam
Pengubatan
Pemakanan pesakit Diabetes seharusnya kurang lemak dan
kalori serta seimbang.
Pesakit diabetes boleh menjalani kehidupan yang normal
dengan syarat pesakit itu dikawal dengan betul. Lebih kurang 40% pesakit
diabetes mampu mengawal keadaan penyakit mereka dengan menjaga pemakanan dan
bersenam. Manakala selebihnya adalah dengan mengambil sama ada ubat (pil)
dan/atau suntikan insulin di samping pemakanan yang sihat dan bersenam. Walau
apa pun ubat yang diambil, perkara-perkara berikut perlu diketahui dan dipatuhi
:
Bila hendak mengambil/makan ubat dan berapa banyak ubat yang
perlu diambil?
Jenis rawatan yang diterima?
Dimana hendak mendapat ubat?
No comments:
Post a Comment